PRESIDEN Umno, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan jualan produk minuman viral dari Korea yang diragui status halalnya di kedai serbaneka.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas laporan Malaysiapost baru-baru ini, berhubung gesaan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung jualan produk yang didakwa menarik minat kanak-kanak itu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pemilik premis perniagaan juga perlu peka terhadap jualan produk di kedai masing-masing.
“Portal berita melaporkan air minuman botol kanak-kanak dari Korea yang diragui status halalnya dipasarkan di kedai serbaneka dalam negara.
“Dakwaan itu tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan sama ada penghasilan air minuman berkenaan halal atau sebaliknya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, lebih membimbangkan botol minuman itu dikatakan menggunakan karakter beruang dan kartun yang menarik minat kanak-kanak.
“Setakat ini isu terbabit sudah mendapat reaksi Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
“Saya berharap pihak berwajib menyiasat dakwaan ini. Jika benar sila ambil tindakan segera,” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid menggesa pemilik premis mendapatkan pengesahan status halal untuk setiap produk makanan atau minuman daripada pengedar sebelum ia dipasarkan kepada umum.
“Saya juga menyeru pemilik premis supaya sentiasa peka dengan setiap produk yang mereka jual.
“Setiap produk makanan atau minuman yang tiada pengesahan halal diasingkan daripada produk halal.
“Dapatkan terlebih dahulu pengesahan pengedar atau pengeluar berkaitan kandungan dan proses penghasilan sesebuah produk makanan atau minuman,” katanya.
Baru-baru ini, Malaysiapost melaporkan, Abdul Rahman menggesa pemilik premis kedai serbaneka supaya lebih peka dengan status halal produk makanan dan minuman yang dijual premis masing-masing.
Ia bagi mengelak pembelian produk tidak halal di kalangan umat Islam, terutama kanak-kanak.
Sebelum ini, tular produk minuman berasal dari korea yang dikatakan menjadi ‘kegemaran’ kanak-kanak termasuk umat Islam kerana statusnya tidak dinyatakan dengan jelas selain tidak diasing sebagai produk tidak halal.
Difahamkan, isu itu tular baru-baru ini, apabila seorang pengguna Facebook mendakwa beliau menerima maklumat bahawa produk minumanan yang dijual di kedai serbaneka 24 jam itu tidak halal, namun tidak disedari umum kerana ia bukan minuman beralkohol.
Malah, minuman itu juga dikatakan menjadi kegemaran kanak-kanak kerana pembungkusannya yang menarik menggunakan botol seperti beruang dan pelbagai karakter kartun lain yang comel.
Mengulas itu sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan turun padang dan menjalankan siasatan mengenai dakwaan berkenaan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

