Hafiz Hamidun mohon maaf, tak berniat rendahkan Nabila

0
2

“TIADA niat untuk merendah-rendahkan Nabila dan pasukan lagu itu. Jujurnya saya adalah diantara peminat lagu Peluang Kedua,” kata Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun.

Hafiz menolak perkongsian di Twitter miliknya semalam yang didakwa netizen sebagai berniat untuk merendah-rendahkan persembahan Nabila Razali pada Anugerah Juara Lagu ke 35 (AJL35) malam semalam.

Katanya sebagai peminat kepada lagu itu, dia meminta maaf sekiranya ada yang melihat kenyataan yang dikeluarkan itu berbaur negatif.

“Bagaimanapun saya meminta maaf sekiranya ada yang terkesan dengan Tweet yang dimuatnaik oleh saya,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Memuji semangat Nabila, bagi Hafiz bukan sesuatu yang mudah buat penyanyi itu sendiri untuk berada di pentas AJL35 semalam.

“Melihat semangat yang ditunjukkan Nabila menyanyikan lagu itu sehingga habis, saya akui bukan mudah. Memang sesuatu yang perlu dihargai.

“Sebagai penyanyi kita faham rasa berdebar dan bagaimana untuk mengawal emosi ketika di atas pentas bukan sesuatu yang mudah,”jelasnya lagi.

Sementara itu ditanya mengapa dia memadam hantaran miliknya selepas beberapa minit, jelas Hafiz dia lebih senang sekiranya perkara itu tidak terus diperbesarkan.

“Saya tidak sangka menjadi sebesar ini, apa yang dikongsi juga sekadar pandangan peribadi sebagai penonton dan peminat lagu itu sahaja.

“Tetapi sebagai rakan artis saya tidak pernah mahu memperlekehkan mana-mana pihak.

“Malah sehingga hari ini saya tidak akan terlepas untuk memberi sokongan kepada Nabila sendiri. Apa pun saya sekali lagi meminta maaf,” katanya.

Hafiz semalam memuatnaik ciapan di Twitternya: “Peluang Kedua adalah paling teruk jika dibazirkan. Dan ia baru sahaja dibazirkan.”

Walaupun Hafiz memadam ciapan tersebut namun netizen sempat melakukan tangkap layar yang turut dimuat naik di beberapa portal hiduran serta menjadi tular.

Kebanyakan netizen mengecam tindakan Hafiz itu yang disifakan sebagai menyindir Nabila yang ‘terkucil’ ketika menyampaikan lagu berkenaan di AJL35 malam tadi. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here