Covid-19: Kes harian dijangka turun kepada 500 menjelang Mei

0
1
Orang ramai melintas jalan di Kuala Lumpur

KES harian positif Covid-19 dijangka akan menurun kepada 500 kes menjelang Mei ini jika rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan trend penurunan nilai kebolehjangkitan (RT) atau R-naught (R0) iaitu 0.87 semalam berbanding 0.9 pada 28 Februari lalu.

“Bagaimanapun, sekiranya SOP tidak dipatuhi, RT dijangka meningkat semula melebihi 1.0, sekaligus meningkatkan bilangan kes harian,” katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) itu turut disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, sehingga semalam kebanyakan negeri mencapai nilai RT kurang 1.0 kecuali Terengganu dan Pulau Pinang.

Sementara itu, mengulas mengenai taburan kes Covid-19 mengikut daerah di Semenanjung, beliau berkata, bagi tempoh 28 Februari hingga 14 Mac, zon hijau meningkat daripada enam daerah kepada 11 daerah.

Menurutnya, daerah terbabit adalah empat di Kedah, masing-masing dua di Pahang dan Perak, manakala masing-masing satu di Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

“Dalam tempoh sama juga, berlaku pengurangan zon merah iaitu daripada 42 daerah kepada 35 daerah yang direkodkan di Semenanjung, manakala zon kuning meningkat daripada 31 daerah kepada 37 daerah,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here