UMNO memutuskan untuk mengambil semula kesemua kerusi pilihan raya milik parti itu yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata Umno sudah membuat keputusan dan tiada lagi perundingan mengenainya bersama Perikatan Nasional (PN).
Ini susulan laporan bahawa PN yang mengajak Umno kembali ke meja rundingan, khususnya berkaitan 13 kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu sebelum ini dan menjadi antara punca keretakan dalam kerjasama PN.
“Pendirian Umno ialah mengambil semula semua ‘kawasan lompat’ itu. Jadi bila nak ambil balik, tiada perundingan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Tajuddin berkata, keputusan itu tidak bermakna Umno berhasrat memusnahkan kerajaan PN, seperti dakwaan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta Umno tidak memusnahkan kerjasama yang dibina sejak setahun lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, tidak ada sesiapa yang mahu memusnahkan kerajaan PN.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya Umno mahu memusnahkan kerajaan PN. Tidak ada tujuan kita untuk memusnahkan. Itu sebab kita kata Umno akan sokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya.
Menurutnya, keputusan mengambil semula semua kerusi berkenaan bukan dibuat secara suka-suka, namun demi menjaga parti agar dapat berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, terdapat juga pihak yang mahu menghancurkan Umno di peringkat akar umbi dan atasan dengan menarik ahlinya.
“Kita buat keputusan hendak jaga parti kita. Apabila parti kita terjaga, baru kita boleh berkhidmat kepada rakyat.
“Kalau parti kita hancur, kita hendak berkhidmat bagaimana? Sekarang ini, apa yang berlaku silap hari bulan, Umno yang akan hancur,” katanya. – Malaysiapost

