DAKWAAN mengenai ‘pengundi hantu’ dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa DAP Perak semasa Konvensyen DAP ke-19 di Ipoh semalam tidak berasas, tegas Setiausaha Organisasi Kebangsaannya, Anthony Loke Siew Fook.
Ahli Parlimen Seremban yang juga bekas Menteri Pengangkutan itu turut meluahkan rasa kesal susulan kekecohan yang berlaku berhubung isu itu.
Menurutnya, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana persidangan parti DAP.
“Saya ingin menegaskan bahawa semua proses pemilihan kepimpinan DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.
“Justeru itu, dakwaan berkenaan ‘pengundi hantu’ (phantoms voters) adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, senarai perwakilan untuk Konvensyen Biasa Negeri adalah disahkan oleh Bahagian Organisasi, Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.
Menurutnya, setiap wakil yang layak hadir ke konvensyen itu berhak untuk mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh Pengurus Pilihanraya.
“Pengurus Pilihanraya untuk Konvensyen Biasa Negeri adalah dilantik oleh Ibu Pejabat Kebangsaan DAP dan secara lazimnya beliau adalah pemimpin dari negeri lain yang tidak ada kepentingan dalam proses pemilihan di negeri tersebut.
“Sebelum seseorang wakil mendapat kertas undi mereka, kad pengenalan mereka akan diperiksa dan disahkan butirannya mengikut senarai perwakilan,” katanya.
Anthony Loke berkata, semua jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab untuk menguruskan logistik konvensyen itu juga perlu mematuhi segala tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh Bahagian Organisasi Kebangsaan.
“Sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan segala proses pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan, Konvensyen Biasa Negeri dan Kongres Kebangsaan parti dijalankan dengan penuh integriti.
“Saya menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti dan menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka.
“Setiap ahli DAP juga perlu sentiasa menjunjung Perlembagaan Parti yang menjadi asas kepada perjalanan dan fungsi parti,” katanya. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/14/konvesyen-dap-perak-kecoh-dakwa-ada-pengundi-hantu/

