BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menyindir DAP mungkin mampu melunaskan hutang negara dengan nilai kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ahli Parlimen Pekan itu merujuk kepada insiden kekecohan ketika Konvensyen DAP Perak di Ipoh semalam yang didakwa melanggar pelbagai kesalahan SOP PKPB.
Isu berkenaan kini dalam siasatan polis yang menjurus kepada kesalahan ingkar SOP oleh perwakilan DAP pada konvensyen itu.
“DAP akhirnya berjaya selesaikan masalah hutang negara.
“Denda RM10k seorang agak besar jumlahnya,” sindirnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kekecohan yang berlaku semasa Konvensyen DAP Perak ke-19 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) semalam.
Menurutnya, siasatan dibuat menjurus kepada kesalahan ingkar SOP PKPB semasa kekecohan berlaku.
Beliau turut memberitahu polis tidak dimaklumkan mengenai penganjuran program itu, namun ia tidak menyalahi kebenaran yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu dengan 50 peratus kapasiti dewan. – Malaysiapost

