PKPD: Kampung Lingkudau bermula esok, 1 lokaliti di Pahang ditamatkan

0
2

Nilam Oshman

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan terbabit yang dijadualkan tamat pada 19 Mac 2021.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 80 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 4 kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan kesemua keputusan sampel kedua untuk kontak rapat seramai 76 orang adalah negatif dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang pada 14 Mac 2021 lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan pelaksanaan PKPD Kampung Lingkudau, Keningau, Sabah bermula esok hingga 28 Mac ini.

“Sehingga 12 Mac 2021, KKM telah melaksanakan 102 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kes positif telah direkodkan.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Lingkudau, Keningau, Sabah bermula 15 Mac hingga 28 Mac 2021,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here