JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) memaklumkan hanya satu daripada 10 ladang ladang Lay Hong Layer Farm Jeram di Kuala Selangor yang mengeksport telur ke Singapura dikesan mengandungi bakteria Salmonella enteriditis (SE).
JPV dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah membuat sesi lawatan dan siasatan bersama pihak pengurusan syarikat Lay Hong Berhad hari ini.
“Terdapat 10 ladang ayam yang terdiri daripada dua ladang ‘pullet’ dan lapan ladang ayam penelur milik syarikat Lay Hong Berhad.
“Hanya satu ladang iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura. Pihak syarikat memaklumkan bahawa 100 peratus telur keluaran daripada ladang CES 008 adalah untuk pasaran eksport ke Singapura.
“Pihak syarikat bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan biosekuriti,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, JPV memaklumkan bahawa telur keluaran ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian (table egg) sehingga keputusan siasatan diperolehi.
“Telur daripada ladang ini hanya untuk penghasilan produk telur yang melalui rawatan haba (heat treatment) di kilang pemprosesan syarikat yang terletak di Kapar dan Meru, Selangor.
“Justeru, JPV telah menjalankan lawat siasat dan pensampelan untuk pengujian SE ke atas semua ladang kepunyaan syarikat Lay Hong Berhad bagi memastikan telur keluaran ladang syarikat adalah bebas SE,” katanya.
Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, JPV juga tidak membenarkan kemasukan semula ‘telur recall’ CES 008 ke Malaysia.
Menurutnya, penggantungan CES 008 ke Singapura tidak menjejaskan pengeksportan lain-lain ladang ke Singapura dan bekalan untuk pasaran tempatan.
Dalam masa sama, JPV memaklumkan bahawa melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, Salmonellosis merupakan salah satu penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia.
Katanya, terdapat lebih daripada 2,000 spesies Salmonella, iaitu SE yang dikesan pada telur boleh menyebabkan penyakit keracunan makanan jika produk tersebut dimakan mentah atau separa masak.
Bagaimanapun, SE boleh dimusnahkan dengan cara memasak dengan sempurna.
Gejala pada manusia akibat jangkitan SE antaranya sakit perut, cirit-birit, loya, muntah dan demam.
Semalam, Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram di Malaysia, sebagai langkah berjaga-jaga.
Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan SE pada produk itu yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak. -Malaysiapost.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/13/singapura-arah-tarik-balik-telur-keluaran-syarikat-malaysia/

