PAS akan menghantar surat kepada Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dalam masa terdekat bagi menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan yang melabelkan PAS sebagai ‘pelacur politik’.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat parti semalam sebagai menyatakan tindakan itu tidak wajar berikutan hubungan baik antara PAS dan Umno yang terjalin dalam Muafakat Nasional (MN).
“Parti mempunyai saluran dan mesyuarat MN juga berjalan dua minggu sekali, selain mempunyai platform untuk membincangkan pelbagai isu tetapi menggunakan media secara terbuka menyerang rakan di dalam MN tidak sewajarnya berlaku.
“Saya melihat isu ini pandangan peribadi bukan mewakili parti pun, cuma kedudukan dia itu agak tinggi sebab itu kita ambil perhatian, kalau ahli biasa, kita buat tak tahu.
“Tetapi bila penasihat, dia (Ku Li) kena jadi penasihat bukan ‘punahsihat’, jadi bila penasihat harus jadi penasihat namun daripada segi hubungan (dalam MN), saya rasa tidak terjejas sebab itu bukan pendirian parti tetapi pandangan peribadi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Razaleigh yang melabelkan PAS sebagai ‘pelacur politik’ yang perlu ditewaskan pada Pilihan Raya Umum (PRU) dalam wawancara dengan sebuah portal berita.
Semalam, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin berkata, kenyataan Ku Li melabelkan PAS sebagai ‘pelacur politik’ telah menggegarkan jiwa pemuda parti itu di seluruh negara.
Beliau berkata, ramai bertanya kepadanya, apa tindakan perlu diambil rentetan kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang itu.
Difahamkan, kenyataan kontroversi itu diucapkan Ku Li menerusi wawancara portal The Malaysian Insight baru-baru ini.
Dalam temubual itu beliau berkata, tindak-tanduk PAS dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan parti itu tidak boleh dipercayai.
“(Pilihan raya kecil) di Tanjung Piai, ketika mereka dah bersama dengan kita, PAS tidak mengundi kita, mereka ada 3,000 ahli di situ, tetapi tidak sampai 1,000 yang undi kita. Mereka bukan rakan kongsi yang jujur. Begitu juga di Semenyih.
“PAS macam pelacur, sekejap (sokong) DAP, sekejap Semangat 46,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/13/pelacur-politik-pemuda-pas-panas-hati/

