POLIS mengesahkan menerima laporan kejadian seorang lelaki membunuh anjing liar dengan memanah haiwan itu sehingga mati di Seberang Jalan Putra, Alor Setar, Kedah semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu berhubung kejadian yang tular di media sosial berkenaan.
Katanya, berdasarkan keterangan pengadu memaklumkan melihat status yang dimuat naik seorang pemilik sebuah akaun Facebook (FB) mengenai anjing liar yang mati dibunuh dengan panah.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ, seorang lelaki yang menaiki kereta Proton Waja berada di kawasan itu ketika kejadian, bagaimanapun nombor pendaftaran gagal dikenal pasti.
“Kelihatan imej suspek melakukan aksi panah muncul dalam CCTV dan senjata yang digunakan adalah busar dan anak panah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tujuan pengadu membuat laporan adalah kerana tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki berkenaan.
Katanya, pihak polis turut merakam percakapan pengadu untuk mengambil keterangannya bagi membantu siasatan.
“Pasukan Jabatan Veterinar yang melakukan siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat CCTV di kedai berhampiran yang menunjukkan seorang lelaki memanah anjing liar antara jam 4.21 hingga 5.26 pagi pada Khamis lalu.
“Pegawai penyiasat Jabatan Veterinar juga sudah membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya. -Malaysiapost

