KERAJAAN sepatutnya lebih peka terhadap nasib rakyat kerana ada segelintir daripadanya begitu terdesak untuk mencari rezeki dalam tempoh sukar ketika ini.
Justeru, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kompaun RM10,000 bagi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) adalah beban besar dan ‘dasyat’ terhadap rakyat.
“Kerajaan harus fikir beban rakyat yang terlampau besar dan dahsyat apabila kena denda RM10,000. Sekarang ni waktu orang susah, lapar dan sakit. Melampau.
“Semalam ada 4 individu kena kompaun RM10,000 kerana langgar SOP di Sibu. (Ia membabitkan) seorang wanita usianya 23 tahun dan seorang pemilik kedai makan usianya 53 tahun.
“Lagi dua orang pemilik kedai gunting usianya 67 tahun dan 32 tahun,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, kompaun yang dikenakan ke atas mereka atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, gagal selia keluar masuk kedai, tidak memakai sarung tangan serta tidak menggunakan apron pakai buang.
“RM40,000 perlu dikutip dari mereka 4 orang. Dua hari lepas ada 330 orang kena denda bersamaan RM3.3 juta.
“Cuba kita fikir, mereka ni ada wang untuk bayarkah? Jaga kedai makan, kedai gunting rambut, usia baru 23 tahun semua ini ada wang untuk bayar denda kah?,” soalnya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau akui setiap kesalahan sememangnya patut dikenakan hukuman namun bukan dengan meletakkan beban berat seperti itu.
“Benar, hukum tetap hukum dan salah tetap salah. Tapi ini pula yang kerajaan laksanakan. Hari ni orang lain kena, hari esok mungkin kita yang kena denda.
“Nak buat rayuan? Dapat potongan RM300, RM500 pun kira rayuan lulus. Masalahnya, macammana dengan mereka yang memang tak mampu bayar?
“Mungkin Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri tak perlu fikir hal ini. Rakyat kita ni macammana?,” katanya.
Samalam, media melaporkan empat individu itu dikenakan kompaun RM10,000, selepas didapati melanggar SOP pencegahan wabak Covid-19 dalam satu operasi pemantauan di Bandar Baru Sibu Jaya, Sabah.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/13/kompaun-rm10000-memang-melampau-syed-saddiq/

