Warga Malaysia bekerja di Singapura terima vaksin fasa kedua

0
1

SERAMAI 100,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dijangka menerima vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata sehingga kini satu sistem sedang dibangunkan bagi membolehkan golongan berkenaan mendaftar dan mengikuti program itu.

Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengadakan satu program khas bertujuan memberi vaksin awal kepada mereka yang perlu bekerja ulang-alik ke Singapura.

“Saya menganggarkan 400,000 orang yang bekerja di Singapura berulang-alik setiap hari dan mereka layak untuk menerima vaksin itu.

“Di peringkat awal, pihak kementerian (MOSTI) akan agihkan vaksin untuk 100,000 orang dulu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang Daerah Pontian di Parit Dahlan, Benut, hari ini.

Hasni berkata, langkah itu diharap dapat memulihkan kembali ekonomi negeri, antaranya sektor perkhidmatan, perkilangan dan pendidikan sebaik sempadan negara dibuka.

Sementara itu, pada program berkenaan, seramai 24 peserta terdiri daripada empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terbabit secara langsung dalam projek tanaman pertanian.

Menurut Hasni, kerajaan negeri menggalakkan inisiatif itu dengan Johor mempunyai potensi baik menjadi pengeluar makanan, khususnya buah-buahan yang terbesar dalam negara.

“Sekiranya dapat mengeluarkan hasil pertanian yang berkualiti dan diperlukan pasaran, maka pusat pengumpulan peladang akan membantu memberi hasil yang bernilai,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/14/selangor-tertinggi-divaksin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here