REAKSI lemah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung isu kalimah Allah mungkin akan menyebabkan kewibawaan kerajaan dipertikai.
Pandangan itu dibangkitkan Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang terkilan dengan komen menteri terbabit yang disifatkan sebagai ‘lembik’ berhubung isu berkenan.
“Saya merasa agak terkilan dengan komen lembik menteri ke atas keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian.
“Tidak sepatutnya untuk seorang Menteri Hal Ehwal Agama langsung tidak mampu menzahirkan apa-apa perasaan ke atas keputusan itu dan sekadar menyebut ‘tunggu dulu’, ‘terlalu awal nak komen’ dan ‘kena tengok dari segi semua aspek’.
“Sedangkan adalah jelas keputusan itu mempunyai kesan yang agak besar kepada negara, paling tidak pun ke atas kecenderungan Mahkamah Tinggi untuk langsung tidak membuat sebarang rujukan ke atas fatwa-fatwa di dalam membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, walaupun fatwa-fatwa tidak mengikat keputusan Mahkamah Sivil, ramai juga hakim yang merujuk fatwa-fatwa di bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang tepat di dalam isu yang membabitkan agama Islam.
Beliau berkata, dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian, sudah ada fatwa dari Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang diikuti oleh fatwa sama dari Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri kecuali Perlis yang mengambil pendirian berbeza.
“Masalahnya ialah mengapa Mahkamah Tinggi langsung tidak membuat sebarang rujukan ke atas fatwa-fatwa ini di dalam membuat keputusannya sedangkan negara ini adalah negara yang Perlembagaannya memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuannya?
“Paling tidak pun Menteri Hal Ehwal Agama patut zahirkanlah sedikit reaksi spontan seperti apa yang disebut oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Haji Abdullah, iaitu ‘berasa dukacita di atas keputusan ini’, supaya tidaklah wibawa kerajaan boleh di pertikai,” katanya.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan keagamaan mereka.
Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau melarang pengimportan bahan pendidikan.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/10/mahkamah-benarkan-kristian-guna-kalimah-allah/

