Jangan buat pembelian panik telur – KPDNHEP

0
2

ORANG ramai dinasihatkan tidak melakukan pembelian panik telur sehingga mengganggu bekalan di negara ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, ia susulan laporan penarikan balik telur keluaran sebuah syarikat Malaysia daripada pasaran Singapura.

Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP berkata, pihaknya sedang membuat penilaian kesan terhadap bekalan telur di pasaran domestik dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia berikutan, tindakan Singapura mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik telur dari pasaran dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm, Jeram di Selangor, sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kementerian maklum dengan arahan dikeluarkan Singapura, berikutan dakwaan penemuan Somanella Enteritidis (SE) seperti yang dilaporkan oleh media semalam.

“Arahan penarikan semula bekalan telur itu bertujuan berjaga-jaga atas kepentingan kawalan keselamatan dan kualiti makanan.

“Setiap Kementerian sedang bertindak mengikut bidang kuasa di bawah Kementerian masing-masing,” kata kenyataan itu.

Justeru, katanya, KPDNHEP akan melaksanakan pemantauan rapi terhadap kedudukan bekalan telur di pasaran susulan daripada isu penemuan itu.

“Pemantauan bekalan dipertingkatkan di setiap rantaian pengedaran dan pembekalan telur untuk mengesan kawasan yang dijangka terjejas keberadaan bekalan telur,” katanya.

Selain itu, KPDNHEP juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dalam kalangan penelur dan pengeluar ayam untuk siap siaga menjalankan proses pengeluaran bekalan telur untuk menampung sebarang risiko gangguan bekalan dalam negara.

Sehubungan itu, KPDNHEP mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga telur dan mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan.

“Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya perbadanan/syarikat dan bagi bukan perbadanan/ individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KPDNHEP mengharapkan kerjasama pengguna untuk membeli secara berhemah dan tidak menyumbang kepada gangguan keberadaan bekalan telur disebabkan pembelian panik.

“KPDNHEP ingin memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikan alasan menaikkan harga.

KPDNHEP juga meminta pengguna menyalurkan maklumat berhubung salah laku peniaga melalui talian 1-800-886-800 atau aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317.

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/13/singapura-arah-tarik-balik-telur-keluaran-syarikat-malaysia/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here