KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) digesa supaya melakukan pemantauan rapat terhadap deligasi negara termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru pulang dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.
Gesaan itu dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang khuatir jika berlaku jangkitan wabak mutasi baharu Covid-19 dikalangan rombongan kerajaan berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau bersetuju dengan pandangan seorang pakar yang berpendapat ekonomi akan jatuh semula ke paras paling teruk jika mutasi baharu Covid-19 menular dalam Malaysia.
“Pada ketika ini, terdapat tiga jenis mutasi baru yang dianggap paling berbahaya – mutasi UK, mutasi Afrika Selatan dan mutasi Nigeria.
“Lebih sebulan dahulu, United Kingdom telah melarang penerbangan dari UAE untuk elak mutasi Afrika Selatan di bawa masuk.
“Bulan lepas, mutasi UK dikesan dari seorang yang pulang dari UAE ke Malaysia dan pada awal bulan Mac ini pula, dua kes mutasi Nigeria dikesan dari pelawat dari UAE ke Malaysia yang telah di kuarantin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, sebab itu, KKM perlu memantau dengan lebih rapat jika berlakunya pelanggaran SOP di kalangan rombongan deligasi kerajaan yang baru pulang dari Arab Saudi dan UAE seperti didakwa media semalam.
“Kesannya adalah amat parah bagi Malaysia jika mutasi baharu Covid-19 yang lebih berbahaya berjaya menyusup masuk ke dalam komuniti Malaysia,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/11/virus-mutasi-covid-19-varian-uk-b-1-1-7-dikesan-di-malaysia/

