Nurul Huda Abhar
“KOMPAUN RM10,000 biar sama rata, jangan rakyat kena VIP terlepas,” kata Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kesalahan yang melibatkan orang kenamaan atau VIP termasuk pemimpin negara tidak dikenakan sebarang kompaun.
“Boleh lihat situasi ‘double standard’ dari segi itu. Kalau pegawai penguatkuasa memang akan buat pemantauan di restoran dan kompaun memang dikeluarkan jika terdapat kesalahan.
“Tapi bila di peringkat VIP tiada siapa berani untuk kenakan kompaun atau saman walaupun VIP tersebut buat kesalahan,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Mohd Ridzuan mengulas berkenaan tular di media sosial hari ini seorang individu dikompaun RM10,000 kerana gagal mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera ketika pemeriksaan pihak berkuasa di sebuah premis.
Mulai semalam, kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19 berbanding RM1,000 sebelum ini.
Sementara itu, beliau berkata segelintir masyarakat masih tidak peka dengan undang-undang yang dilaksanakan kerajaan.
Jelasnya, kerajaan perlu tekankan dan beri peringatan berkenaan nilai kompaun baharu RM10,000 yang dikuatkuasa bermula semalam.
“Saya sendiri akan pastikan imbas aplikasi MySejahtera atau tulis di buku manual. Kita kena displinkan diri untuk ikut semua prosedur operasi standard (SOP) supaya negara bebas dari Covid-19,” ujarnya.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon mengesahkan individu yang dikompaun RM10,000 seperti tular di media sosial didapati tidak mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar disediakan oleh pengusaha premis
Individu tersebut didapati ingkar sepertimana diperuntukkan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Mohamed Mokhsein turut menafikan individu terbabit telah mendaftarkan diri melalui mana-mana saluran disediakan pengusaha premis.
Katanya, individu itu dikesan gagal berbuat demikian ketika pemeriksaan SOP di sebuah restoran di Bukit Jalil semalam. – Malaysiapost
Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/03/12/polis-sahkan-individu-dikompaun-rm10000-tak-daftar-melalui-mysejahtera/

