POLIS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu, peserta dan penganjur yang mahu mengadakan demonstrasi jalanan mempertikaikan keputusan mahkamah berhubung isu kalimah Allah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata tindakan undang-undang termasuk Akta Hasutan menanti mereka yang degil dan mahu meneruskan agenda berdemonstrasi di jalanan itu.
Tegas Abdul Hamid, orang ramai perlu menghormati keputusan tersebut kerana ia diputuskan mengikut Perlembagaan.
“Sekiranya kita tidak hormati keputusan mahkamah maka hancur negara ini dan perlu diingatkan mahkamah diberi kebebasan membuat keputusan yang difikirkan tepat mengikut Perlembagaan.
“Kalau mahu mahkamah buat keputusan mengikut citarasa kita sahaja tidak adil dan jika masih tidak puas hati buat proses rayuan atau bawa perkara ini ke Parlimen, buatlah undang-undang apa pun bukannya ambil langkah turun ke jalan.
“Saya beri nasihat dan amaran agar tidak meneruskan hasrat turun ke jalan tetapi jika masih degil kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada termasuk mengikut Akta Hasutan,” katanya dipetik Malaysia Gazette, hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Razlan Rafii menegaskan, umat Islam sedia ke turun jalan raya sekiranya kerajaan gagal bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Katanya, keputusan itu dibuat susulan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa masih gagal mengambil tindakan drastik dengan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.
“Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi mengajar kerajaan sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan. Umat Islam sedia turun ke jalan raya bagi mempertahankan kalimah suci ini,” kata Razlan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/11/kalimah-allah-umat-islam-sedia-mengajar-kerajaan/

