PAS tolak politik toksik

0
2

PAS akan terus memperjuangkan agenda perpaduan Melayu Islam dan Bumiputera meskipun terpaksa berhadapan dengan budaya politik toksik.

Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan parti itu tidak akan melayan gertakan agar PAS menyatakan pendiriannya selagi tidak bertentangan dengan agenda perpaduan yang diperjuangkan parti itu.

“Hakikatnya penyatuan dan perpaduan berpaksi kepentingan agama, bangsa dan negara termeterai dari Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) cukup ampuh dari dirempuh Pakatan Harapan (PH). Maka hanya dengan memecahkan kekuatan itulah yang memungkinkan mereka kembali ke persada kuasa.

“Lantaran itu jangan ada yang berperangai jelik turut meneguk racun toksik dengan gertak ugut supaya PAS memilih secara eksklusif persaudaraan politik telah diikat kini.

“Saf kepimpinan kini wajib terus dipertahankan oleh semua parti dan NGO yang bersama dalam kerajaan kini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, Khairil Nizam meminta rakan-rakan politik PAS menjaga semangat setiakawan yang telah terbentuk demi menjaga kemakmuran dan keharmonian negara.

Ini kerana katanya, agenda Melayu-Islam dan Bumiputera serta keharmonian hidup rakyat berbilang kaum dan kemakmuran negara sangat mustahil untuk didukung secara sempit, sombong dan tanpa setiakawan.

“Mari singkirkan toksik yang ada dan perkuatkan imuniti ummah. Politik penyatuan dan perpaduan adalah kekuatan ampuh hadapi fitnah, penipuan dan ugutan.

“Politik toksik dengan memuntahkan fitnah, menggumpal penipuan dan mengancam ugut masih diamalkan oleh politikus berkepentingan diri dan terdesak.

“Ia petunjuk kontang jati diri dan idealisme, serta tiadanya perjuangan luhur untuk menjulang ketamadunan rakyat dan negara,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, PAS didesak terutama daripada Umno untuk menyatakan pendirian sama ada bekerjasama dengan PN atau MN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun kepimpinan Pas tetap dengan pendiriannya untuk memperkasakan MN dan mempertahankan PN, selain memperjuang agenda perpaduan Melayu Islam dan Bumiputera.

Malah, PAS menawarkan diri sebagai orang tengah untuk menjernihkan hubungan Umno dan Bersatu agar ketiga-tiga parti itu dapat membentuk satu gabungan kuat pada PRU15 nanti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here