DATUK Seri Mohamed Azmin Ali hari ini meraikan genap setahun beliau mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai Menteri Kanan.
Beliau melahirkan rasa syukur mempunyai pegawai kementerian yang cekap dan terus berjuang mencerdaskan ekonomi negara.
“Ayuh kita terus berganding bahu dan melangkah sederap untuk mengilap kekuatan ekonomi negara sehinggalah kita berjaya mencetus dinamika baru pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu beliau hadir Majlis Setahun Bersama MITI yang menurutnya buat julung kali warga kementerian itu dapat berkumpul.
“Kami bertekad untuk maju ke hadapan dengan iltizam MITI Pemangkin, Malaysia Prihatin.
“Syabas dah tahniah buat seluruh warga MITI yang telah berkorban dan bersengkang mata selaku Barisan Hadapan Ekonomi Negara tatkala negara berdepan cabaran pandemik Covid-19.
“Cabaran terbesar MITI adalah mengimbangi keperluan melindungi kesihatan dan menjamin pendapatan rakyat,” katanya.
Mohamed Azmin bersama 30 lagi menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya pada 10 Mac 2020. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/28/fdi-jatuh-azmin-perlu-jelaskan-kepada-rakyat/

