Perluas BDR: Cadangan PM beri sinar baharu pada golongan wanita

0
2

CUEPACS menyambut baik cadangan untuk memperluas kemudahan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dan swasta dengan gaji penuh, bagi tujuan penjagaan ahli keluarga uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak baru lahir. 

Presidennya, Adnan Mat berkata langkah itu yang dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tepat kerana boleh meningkatkan produktiviti negara terutama penglibatan golongan wanita dalam pasaran buruh. 

Berdasarkan statistik semasa, katanya, ketika ini jumlah penyertaan tenaga buruh melibatkan wanita hanya sekitar 55.3 peratus berbanding 80.7 peratus golongan lelaki dan ia jurang yang sangat besar. 

“Umum mengetahui golongan wanita ketika ini memiliki bakat dan kemahiran luar biasa dan setara dengan lelaki. 

“Bagaimanapun disebabkan kekangan tertentu wanita yang berbakat ini terpaksa meninggalkan pasaran pekerjaan untuk memberi fokus kepada keluarga. 

“Ketika ini juga banyak isi rumah yang mencatatkan hanya golongan lelaki saja keluar bekerja, manakala wanita menjadi suri rumah sepenuh masa kerana kekangan-kekangan tertentu,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Adnan berkata kekangan itu mungkin berpunca daripada keperluan menjaga anak ramai serta ibu bapa atau pasangan yang uzur dan tidak sihat. 

“Apabila memiliki bilangan anak yang ramai, salah seorang pasangan akan memilih untuk berhenti bekerja kerana kos penjagaan anak yang tinggi berbanding pendapatan selain tidak mempunyai masa yang cukup. 

“Justeru, cadangan Perdana Menteri memberi sinar baharu kepada golongan wanita di Malaysia sekali gus boleh meningkatkan kesejahteraan isi rumah. 

“Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia sewajarnya menyambut baik cadangan ini dengan bertindak membuat penilaian segera,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau berkata CUEPACS berharap kerajaan dan majikan termasuk swasta dapat menyediakan persekitaran kerja yang baik bagi melaksanakan konsep BDR tersebut. 

Katanya, ia meliputi kemudahan capaian internet, komputer riba serta kelengkapan lain seperti dinikmati pekerja yang bekerja di pejabat. 

“Tiada gunanya jika kita melaksanakan konsep BDR ini tetapi hasil atau produktiviti yang kita harapkan tidak dapat dicapai akibat persekitaran kerja tidak sesuai di rumah. 

“Pada akhirnya yang dipersalahkan adalah golongan pekerja kerana tidak menepati kriteria produktiviti ditetapkan sedangkan mereka ini berhadapan masalah yang kita tidak ketahui. 

“Sekiranya konsep ini mahu diperkenalkan pada masa akan datang, ia perlu dirangka dengan pendekatan yang menyeluruh agar tidak menjadi sia-sia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here