KERAJAAN melaksanakan gelembung pelancongan bersasar domestik terkawal dengan membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain bermula esok.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam membuat keputusan membenarkan gelembung pelancongan bersasar secara terkawal.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama agensi terlibat serta mendengar nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP yang lain.
“Ini antara PKPP dengan PKPP sahaja, tidak membabitkan negeri status PKP Bersyarat (PKPB),” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, aktiviti itu bagaimanapun perlu mematuhi beberapa syarat dan prosedur operasi standard (SOP).
“Syaratnya ialah perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan pergerakan hanya menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.
“Pergerakan secara persendirian tidak dibenarkan dan agensi pelancongan perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pergerakan rentas negeri,” katanya.
Menurutnya, syarat lain adalah perjalanan mestilah terus ke kawasan PKPP tanpa berhenti di negeri PKPB.
“Sebab itu aktiviti gelembung pelancongan ini tidak dibenarkan secara persendirian tidak dibenarkan selepas mendapat nasihat PDRM yang memaklumkan agak sukar dari segi kawalan, namun sebaliknya dengan agensi pelancongan.
“Syarat lain adalah membabitkan tempat penginapan yang perlu dimaklumkan kepada polis ketika memohon kebenaran selain aktiviti pelancongan yang ingin dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai SOP kebenaran itu boleh diperoleh di laman sesawang MOTAC dan MKN. – Malaysiapost

