KERAJAAN bersetuju membenarkan pembabitan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi Fasa 2 dan Fasa 3.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Khas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Menurutnya, pembabitan GP adalah bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat.
“Penglibatan GP ini adalah bagi pelaksanaan PICK Fasa 2 dan Fasa 3.
“Bagi tujuan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sebagai pelaksana penglibatan GP dalam PICK,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pengumuman mengenai perlantikan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) ini diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang media mingguan JKJAV di Putrajaya hari ini.
ProtectHealth diperbadankan pada 2016 di bawah KKM sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan.
Menurut Noor Hisham, GP yang berminat untuk terlibat dalam PICK bagi Fasa 2 dan 3, perlu berdaftar dengan ProtectHealth bermula hari ini melalui www.protecthelath.com.my, – Malaysiapost

