SEORANG lelaki dihukum penjara dua tahun lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Belud, Sabah hari ini selepas mengaku bersalah membunuh seekor kucing dengan memotong kepala haiwan itu.
Jaferi Suman, 32, melakukan kesalahan itu di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Julai tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Majistret Lovely Natasha Charles menjatuhkan hukuman itu yang dijalankan mulai tarikh tertuduh ditahan, iaitu 5 Julai 2020.
Memetik laporan FMT, berdasarkan keterangan kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 3 petang pada 3 Julai tahun lalu di depan anak pengadu yang juga pemilik kucing terbabit.
Susulan itu, pengadu terbabit membuat laporan polis keesokannya dan tertuduh ditahan pada 5 Julai 2020.
Kejadian itu turut menyebabkan dua anak pengadu trauma, selepas melihat tertuduh yang juga jiran mereka membunuh kucing terbabit menggunakan parang.
Mengikut keterangan kes, siasatan mendapati tertuduh ialah penagih dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.
Terdahulu dalam rayuannya, Jaferi meminta hukuman itu dilaksanakan mulai tarikh dia ditahan dan Majistret membenarkan rayuannya.
Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Mohd U’kasyah Hashim. – Malaysiapost

