‘Jangan takut terima vaksin Covid-19, kesan sampingan sementara itu normal’ – Frontliner

0
2

Nurul Huda Abhar

SEJAK bekalan vaksin Covid-19 kumpulan pertama tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Febuari lalu, keutamaan diberikan kepada para petugas barisan hadapan sebagai penerima fasa terawal.

Ia meliputi mereka yang berada dalam sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen.

Perkongsian Ketua Jururawat, Rafidah Ibrahim yang kini berkhidmat di sebuah Klinik Kesihatan di Pahang memberitahu beliau telah menerima suntikan dos pertama pada 2 Mac lalu.

Menurutnya, kerisauan orang ramai berkenaan dengan kesan sampingan yang mungkin berlaku selepas suntikan vaksin adalah perkara normal.

Beliau sendiri mengakui selepas menerima dos vaksin terdapat sedikit rasa lenguh di kawasan disuntik tetapi tidaklah lama.

“Alhamdullah, tidak ada rasa apa-apa. Lenguh sikit tapi sekejap sangat. Itu biasa bagi semua vaksin,” katanya kepada Malaysiapost.

Rafidah berkata, beliau dijadualkan untuk menerima suntikan dos kedua pula pada 23 Mac ini.

Sementara itu, Nor Haiqal Asraff Awaluddin yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan di sebuah hospital di Pulau Pinang berpendapat masyarakat tidak perlu dimomokkan akan berlaku kesan sampingan yang serius akibat suntikan vaksin.

Beliau menggalakan orang ramai untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam program imunisasi yang diwujudkan kerajaan dan lakukan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 di platform yang telah disediakan.

“Saya menyaran untuk anda semua memberi kerjasama untuk menerima vaksin tersebut demi kepentingan kita bersama.

“Kesan sampingan yang hangat diperdebatkan dilaman sosial merupakan kesan yang mungkin akan berlaku, kita semua pernah menerima vaksin, jika sebelum ini anda tidak pernah mengalami sebarang alahan atau masalah, bagi saya tidak perlu risau,” katanya.

Nor Haiqal Asraff telah menerima vaksin Covid-19 dos pertama pada 3 Mac lalu manakala dos kedua pula dijangkakan 24 Mac ini.

“Sejujurnya tiada kesan sampingan yang serius saya alami, hanya mengalami rasa sakit pada tempat suntikan tetapi hilang pada keesokan harinya,” ujarnya lagi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Pendekatan kerajaan melalui program imunisasi itu adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Sehingga semalam, seramai 139,720 individu, kebanyakannya petugas barisan hadapan, sudah menerima suntikan pertama vaksin bagi program tersebut

Angka terbaharu itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi ciapan di Twitter, berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Berdasarkan jumlah itu, Sarawak merekodkan penerima tertinggi dengan 22,140 individu, disusuli Pahang (14,473), Selangor (12,336), Kelantan (11,927), Sabah (11,739), Kuala Lumpur (11,267), Perak (10,678) dan Johor (10,718).

Terengganu pula merekodkan 6,932 individu menerima suntikan, sementara Kedah (6,269), Pulau Pinang (5,292), Negeri Sembilan (4,864), Melaka (4,312), Putrajaya (2,290), Labuan (2,259) dan Perlis (2,223) individu. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

https://malaysiapost.com.my/2021/03/08/hampir-140000-individu-sudah-divaksin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here