TINDAKAN lompat parti beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) adalah tidak bercanggah dengan Perlembangaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, berkata beliau mengambil contoh negeri Pulau Pinang yang melaksanakan undang-undang Akta Anti Lompat Parti.
Menurutnya, pelaksanaan akta tersebut di kerajaan negeri itu tersekat kerana perlu meminda Perlembagaan sedia ada terlebih dahulu.
“Macam undang-undang yang ada di Pulau Pinang tetapi tidak dapat dilaksanakan walaupun ada yang lompat parti.
“Ia kerana mahkamah memutuskan akta berupa anti lompat parti ini tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.
Berdasarkan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan mana-mana Adun yang berhenti menjadi ahli parti yang diwakili semasa pilihan raya perlu mengosongkan kerusinya.
Namun, Kerajaan Pulau Pinang tidak menguatkuasakan undang-undang itu walaupun empat Adun negeri tersebut menarik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
Empat Adun itu ialah dua Adun Bersatu dari Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim yang menarik semula sokongan terhadap kerajaan PH dan kemudian bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, dua lagi ialah Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim pula tidak lagi menjadi wakil rakyat PH apabila dipecat daripada PKR.
Sementara itu, beliau berkata, akta tersebut boleh dilaksanakan sebaik sahaja Perlembagaan dipinda.
Bagaimanapun, jelasnya, pengubalan akta itu tertakluk kepada perintah mahkamah yang sebelum ini memutuskan sebarang undang-undang berkaitan anti lompat parti bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah.
“Tidak boleh buat perkara itu (Akta anti lompat parti). Kalau nak buat juga kena pinda Perlembagaan Persekutuan dahulu.
“Dalam kes Nordin Salleh dahulu, mahkamah memutuskan bahawa apa-apa undang-undang yang berkaitan anti lompat parti bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak sah, jadi tidak boleh buatlah,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada April 1992, dalam kes Nordin lawan Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mahkamah Agung (dinamakan Mahkamah Persekutuan ketika ini) ketika itu memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota Dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan.
Ia sebagaimana seperti diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Di dalam kes Nordin itu ia berlaku ekoran tindakan kerajaan Kelantan dan diikuti kerajaan Sabah, ketika itu menggubal undang-undang anti lompat parti bagi mengelakkan wakil rakyat bertukar parti. -Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/05/lompat-parti-ahli-parlimen-tebrau-nafi-terima-rm20-juta/

