Kes tembak isteri: Jiran tak tahu tong ada mayat mangsa

0
1

JIRAN kepada suspek yang menembak mati isterinya dengan senapang angin ketika sedang tidur Isnin lalu, mengakui tidak mengetahui isi kandungan dalam tong air ketika membantu lelaki itu.

Lelaki berusia 32 tahun yang kini turut direman bagi membantu siasatan mendakwa dia hanya membantu suspek yang meminta bantuan untuk mengangkat tong berkenaan tanpa mengetahui ia mengandungi mayat mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Md Yusof Ahmad berkata, pada waktu kejadian, suspek meminta tolong jirannya yang tinggal berdekatan rumah untuk mengangkat tong air berwarna biru ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Katanya dia bantu sebab tidak tahu apa yang ada dalam tong itu, jiran hanya minta tolong dan dia tolong sahajalah.

“Bagaimanapun, kita sedang melakukan siasatan terperinci berhubung pembabitan lelaki berkenaan dan kini dia ditahan bersama suspek untuk membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dalam kejadian itu, seorang suami tekad menembak mati isterinya dari jarak dekat menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur di rumah mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Isnin lalu.

Setelah membunuh mangsa, suspek berusia 43 tahun itu menyumbat isterinya di dalam tong plastik sebelum menanam mayat wanita berkenaan di sebuah ladang di Bandar Penawar kira-kira jam 4.30 pagi hari yang sama.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu jengkaut itu kemudian membuat laporan polis kononnya wanita itu hilang sebelum mayat ibu dua anak yang berasal dari Terengganu itu ditemukan tertanam di ladang terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/05/suami-tembak-sorok-mayat-isteri-dalam-tong-air-akibat-cemburu/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here