Kanak-kanak nyaris mangsa ular sawa

0
2

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun nyaris menjadi mangsa ular sawa apabila reptilia itu ditemui melingkar dalam katil bersamanya yang sedang tidur di rumah keluarganya di Kampung Gangsa Durian, Melaka semalam.
Kejadian jam 9 malam itu disedari ibu kanak-kanak terbabit, Nurul Fatehah Amran, 24. 
Suri rumah terbabit menyedari ular sawa seberat enam kilogram itu melingkar di bahu anaknya ketika dia ingin menukar baju bayi berkenaan. 
“Anak saya tidur kira-kira pukul 7.15 malam dan dua jam kemudiannya saya masuk ke bilik kerana ingin menukar baju dipakainya, tiba-tiba saya ternampak ada satu benda berkilat bercorak batik di bahunya.
“Ketika ingin mengangkat anak, benda itu tiba-tiba bergerak. Dalam keadaan menggigil saya terus angkat anak saya dan berlari keluar memanggil suami dan abang memberitahu ada ular di atas katil,” katanya seperti dilaporkan Kosmo. 
Katanya, dia yang bimbang dengan keadaan anaknya terus memeriksa tubuh badannya dan bersyukur selepas tiada kecederaan dialami.
“Alhamdulillah anak saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Abang saya kemudian telah menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi menangkap ular tersebut yang mungkin datang dari kawasan semak tidak jauh dari rumah kami,” katanya.
Sementara itu Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.40 malam.
“Sepasukan empat anggota telah bergegas ke lokasi untuk operasi kes menangkap ular (KMU) dan setiba di tempat kejadian, kita dapati ular sawa tersebut masih berada di bawah bantal.
“Pasukan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk menangkap ular seberat enam kilogram dengan panjang satu meter itu sebelum dilepaskan ke habitat asal jauh dari kawasan perumahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here