SPRM siasat aduan rasuah Ahli Parlimen Sekijang

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima kehadiran Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail di pejabatnya Cawangan Segamat, Johor hari ini. 
Agensi berkenaan dalam satu kenyataan media malam ini memaklumkan, kehadiran wakil rakyat itu untuk berbincang berhubung isu tawaran rasuah berjumlah RM10 juta oleh dua individu yang didakwa bagi tujuan memujuk beliau melompat parti.
Menurut SPRM, dalam pertemuan itu, Natrah mengesahkan tiada tawaran rasuah berjumlah RM10 juta sebagaimana yang didakwa menerusi kenyataan di akaun Facebook dikenali sebagai Ops Johor.
“Bagaimanapun, SPRM akan terus menjalankan siasatan terhadap isu ini dengan beberapa saksi kes termasuk keterangan YB Natrah akan diambil dalam masa terdekat.
“Sehubungan itu, SPRM turut menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes ini,” menurut kenyataan itu. 
Terdahulu, Natrah dilaporkan membuat laporan kepada SPRM hari ini mendakwa cuba dirasuah oleh dua individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk Seri’ bagi mendapatkan sokongan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin. 
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 3 Mac lalu dan dia dijanjikan manfaat jika memberikan sokongan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here