Nombor plat UM boleh dibida esok

0
2

NOMBOR pendaftaran kenderaan khas ‘UM’ boleh dibida bermula esok dengan harga bidaan minimum RM1,000.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, nombor pendaftaran itu adalah satu simbol unik yang dapat dipaparkan pada kenderaan dan ditawarkan kepada orang awam.

Beliau berkata, ia bukan sekadar nombor plat kenderaan, tetapi menjadi satu manifestasi seseorang sebagai ‘warga UM’.

“Pembida juga secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada dana pembangunan, penyelidikan dan kebajikan pelajar UM.

“Penjualan nombor pendaftaran kenderaan UM antara inisiatif penjanaan pendapatan universiti, selain mempromosikan nama UM sebagai universiti terunggul dan antara yang terbaik di dunia,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Mohd Hamdi berkata, inisiatif itu juga disasarkan akan menarik lebih ramai alumni UM memberi sumbangan kepada universiti itu, selain mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Sesi bidaan pertama yang berlangsung selama lima hari bermula jam 8 pagi esok hingga 12 Mac ini menawarkan 100 nombor plat UM membabitkan tiga kategori iaitu emas, perak dan gangsa serta bidaan boleh dilakukan menerusi laman web https://hebat.um.edu.my.

Katanya, UM adalah universiti terbaik di Malaysia dan berada di kedudukan 59 terbaik di dunia.

Antara nombor yang berada dalam kategori emas adalah UM13, UM111, UM22, UM555, UM7777 dan UM9999 yang kadar minimum bidaannya adalah RM30,000. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here