PENGUSAHA dan pelanggan pusat hiburan tetap berdegil dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) walaupun aktiviti berkenaan masih tidak dibenarkan beroperasi.
Seramai 144 daripada keseluruhan 442 individu yang ditahan semalam kerana ingkar SOP adalah atas kesalahan itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 442 individu yang ditahan itu, 430 telah dikenakan kompaun, manakala 11 direman dan seorang dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (144), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (88) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80).
“Kesalahan lain, tidak memakai pelitup muka (71), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (8) dan lain-lain (51),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kawalan sempadan negara melalui Op Benteng semalam pula, berjaya menangkap 102 pendatang asing tanpa izin (Pati) serta merampas empat kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 114 buah bot/kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2020/12/24/pusat-karok-belum-boleh-buka/

