Bersatu berbesar hati pendirian Umno Sabah

0
2

BERSATU berbesar hati dengan pendirian Umno Sabah untuk terus bekerjasama menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata keputusan Umno Sabah itu selari dengan perjuangan GRS untuk membentuk perpaduan erat demi kestabilan politik di Sabah.

Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu telah menunjukkan hasrat rakyat Sabah untuk melihat satu bentuk perpaduan erat demi kestabilan politik.

“Negara memerlukan satu bentuk kestabilan politik yang padu untuk menangani isu lebih besar iaitu ekonomi dan pembangunan negara.

“Rakyat menaruh harapan agar pendekatan politik yang diambil menjanjikan kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ronald berkata pendirian Umno Sabah itu harus diterjemahkan ke peringkat nasional untuk membentuk satu gagasan yang dapat menjanjikan kestabilan politik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

“PRN Sabah yang lalu harus dijadikan iktibar bahawa rakyat memilih penjajaran baharu yang menjanjikan kestabilan politik negara keseluruhannya,” tegasnya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata perpaduan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) harus menjadi teras kepada pendekatan dan penjajaran politik yang baru di negara ini.

Jumaat lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan pendirian Umno Sabah untuk kekal meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan parti-parti lain menerusi GRS.

Semalam, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kerjasama utuh antara Bersatu dengan Umno Sabah tidak tergugat dengan senario politik semasa di Semenanjung.

Setakat ini, dua perhubungan Umno negeri iaitu Sabah dan Perlis telah menyatakan pendirian masing-masing untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here