PM sebak, diperkenan memasuki Kaabah

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata beroleh keizinan Allah SWT untuk kembali ke Tanah Suci, menjejakkan kaki di Masjidilharam seterusnya menunaikan ibadat umrah malam tadi, adalah nikmat yang amat disyukuri dengan penuh rendah hati.

Perdana Menteri berkata, apa yang lebih membuatkan beliau sebak dan bersyukur, apabila dengan izin-Nya jua, Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud telah memperkenan beliau memasuki Kaabah.

“Ini ialah aturan Allah SWT yang amat besar nilai dan maknanya, bukan sahaja untuk diri saya dan isteri, bahkan saya menganggapnya sebagai bukti ukhwah persaudaraan yang amat akrab serta penghormatan untuk umat Islam di Malaysia dari Kerajaan Diraja Arab Saudi.

“Saya amat memahami kerinduan umat Islam khususnya di Malaysia untuk kembali ke Tanah Suci. Kerinduan yang kita semua tidak boleh gambarkan dengan kata-kata.

“Saya telah diizinkan-Nya untuk kembali ke sini namun tidak sesekali menganggapnya sebagai keistimewaan peribadi. Saya percaya, ini amanah oleh-Nya untuk saya hadir dan berusaha sedaya upaya agar lebih ramai umat Islam di Malaysia dapat kembali ke bumi Mekah,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya.

Muhyiddin berkata semasa menunaikan umrah dan berada di dalam Kaabah, beliau bagi pihak rakyat khususnya umat Islam di Malaysia berdoa dengan sesungguhnya, semoga semua sentiasa berada dalam perlindungan-Nya.

Selain berdoa seluruh dunia bebas daripada wabak penyakit dan umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia dapat segera kembali berpeluang ke tanah suci sebagai tetamu Allah.

“Sememangnya Kerajaan Arab Saudi memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan dalam kalangan umat Islam. Saya percaya tidak lama sahaja lagi, bumi anbia ini akan kembali diimarahkan dengan ibadat umrah dan ziarah. Insya-Allah.

“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia, berterima kasih kepada Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Yang Amat Mulia Putera Mohammad bin Salman, yang mengundang saya ke Arab Saudi.

“Hari ini, saya dan isteri akan ke Madinah untuk melakukan ziarah ke makam Rasulullah SAW dan Masjid Nabawi, sebelum memulakan program yang telah diatur dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Asia Barat ini.

“Doakan perjalanan kami ini dipermudahkan dan dirahmati Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/07/pm-dan-isteri-diberi-penghormatan-masuk-kaabah/

https://malaysiapost.com.my/2021/03/06/pm-mulakan-lawatan-ke-arab-saudi-bincang-urusan-jemaah-haji-malaysia/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here