Putera Awang Selamat
JIKA baca semula beberapa buku kisah Umno pada awal 1940-an, gandingan Tunku Abdul Rahman dengan Tun Abdul Razak paling mesra, akrab dan saling hormat-menghormati.
Tidak benar jika ada tuduhan Tun Razak menganiaya Tunku, malahan Tunku sendiri mencadangkan kepada Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang baharu ketika itu supaya melantik Tun Razak sebagai penggantinya. Ini diceritakan juga oleh mantan Pengarah Mageran yang juga Panglima Angkatan Tentera yang pertama, Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail.
Gandingan lain yang sangat akrab dan saling menghormati ialah antara Tun Abdul Razak dengan Tun Hussien Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Ghafar Baba, Tun Abdullah dengan Datuk Seri Najib Razak serta Najib dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sebab itulah ketika gandingan mereka, bangsa dan negara berada pada tahap yang mengagumkan.

Pada hari ini, kejatuhan Umno pada tahun 2018 dahulu tidaklah sebenar-benarnya jatuh kerana Umno masih menerima jumlah kerusi terbanyak iaitu 70. Namun demikian, kemahiran Dr Mahathir mengambil peluang di saat begini bukanlah pertama kali, kerana semasa Umno diharamkan pada tahun 1988, Tun M dengan segera mendaftarkan Umno Baharu lebih cepat sehari berbanding Semangat 46. Maka secara automatik, semua harta benda Umno lama ketika itu dipegang semula oleh Umno Baharu.
Jika GOLKAR parti terbesar Indonesia sekian lama, mirip parti Umno boleh bangun gagah semula pada hari ini, Umno pun boleh melakukannya kerana ia memiliki fundamental kuat. Antaranya masih memiliki aset yang bernilai, namun satu-satunya nilai aset Umno yang membahayakan sekarang ialah aset kepimpinan!
KEMELUT UMNO
Sebagai pencatat sejarah, saya melihat kepimpinan Umno hari ini berada dalam gelora. Bagaikan sebuah kapal baharu terhoyong-hayang tanpa haluan yang jelas, kukuh dan bijaksana. Bahasa mudahnya disebut sebagai flip-flop. Ini namanya krisis kepimpinan.
Ketika Umno kuat pada zaman Tun M, beliau membuang sesiapa sahaja malah memenjarakan mereka yang cuba mengatasinya dalam parti mahupun dalam kerajaan. Ia tidak berlaku pada zaman DS Najib kerana DS Najib seorang yang lemah lembut, sabar dan baik kepada semua orang walaupun orang menikamnya dari belakang.
Semasa saya bekerja dengan DS Najib, saya tidak menerima satu apa-apa pun walaupun saya membantunya sehingga ke luar negara. Peliknya, walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin baru setahun, saya telah diberikan anugerah yang tidak diberikan oleh DS Najib.
Berbalik kepada Umno, pada hari ini, menteri-menteri Umno dalam kerajaan semuanya bekerja dengan sangat-sangat muhibbah dan mahabbah, rakyat disantuni, mereka tidak berpolitik, rakyat menyukai mereka, TS Muhyiddin melayan menteri-menteri Umno seperti adik-beradik tidak ada dendam kesumat.
Maka amat pelik apabila kepimpinan Umno membuat keputusan menjauhkan diri dari kerajaan. Ia satu tindakan yang silap. Umno berada dalam kedudukan paling lemah dalam sejarah tetapi berlagak menjauhi kerajaan yang semakin kuat.
Sejarah PRN15 Sabah menunjukkan kesilapan percaturan kepimpinan Umno pusat sehingga kehilangan banyak kerusi walaupun bertanding paling banyak kerusi dan seterusnya kehilangan jawatan Ketua Menteri Sabah.
Umno memecat Setiausaha Agung Umno tetapi Dewan Tertinggi BN tidak hendak memecat Setiausaha Agung BN, ini namanya kelemahan kepimpinan. Presiden tidak dihormati oleh anggota dewan, termasuklah baru-baru ini isu kenyataan mengenai persidangan Parlimen yang kononnya salah media BN.

Dalam zaman siber, kita tidak boleh menyembunyikan hatta satu biji perkataan pun. Kita boleh diam-diam menyokong parti pembangkang, menulisnya untuk membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi kita mesti ingat Perdana Menteri tidak mungkin bisa ditipu bulat-bulat. Kita tidak boleh bercakap lain tetapi di belakang bertindak lain. Di dalam politik, kejujuran sangat penting. Jika tidak ahli-ahli parti di peringkat bawah pun jadi bengong dan tidak tentu arah.
Kesimpulannya, jika Umno berdiri sendiri semasa PRU15 nanti, saya sangat bimbang 70 kerusi yang dimenangi pada tahun 2018 akan menjadi mimpi ngeri. Bagi saya, Umno, PAS dan Bersatu saling perlu-memerlukan. Ketiga-tiga parti ini pun tidak akan mampu membentuk kerajaan jika berdiri sendiri.
Kita memerlukan pemimpin yang prinsip kepimpinan dalam parti tidak goyang, istiqamah, berprinsip dan bijaksana. Saya melihat menteri-menteri Umno dalam Kerajaan memiliki kualiti itu. Misalannya, Tan Sri Annuar Musa yang teruk diserang oleh kepimpinan Umno, saya lihat dia teguh dengan prinsip ‘No DAP No Anwar’ dan mempertahankan Muafakat Nasional.
Begitu juga Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, setia kepada kepimpinan parti tetapi pada masa sama komited kepada Kerajaan PN. Inilah yang dinamakan kebijaksanaan.
Bersambung…
.
Putera Awang Selamat adalah nama pena bagi penulis artikel ini yang juga kolumnis di Malaysiapost

