Dakwa cuba disogok sokong Muhyiddin, Natrah lapor SPRM

0
2

AHLI Parlimen Sekijang, Natrah Ismail membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berhubung dakwaan cubaan merasuah dirinya bagi mendapatkan sokongan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau membuat laporan itu di SPRM Cawangan Segamat, Johor.

Menurutnya, laporan itu dibuat berkenaan satu percubaan rasuah untuk mendapatkan sokongannya dengan janji manfaat jika memberikan sokongan.

“Kejadian itu berlaku pada 3 Mac lalu, dan melibatkan dua individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk Seri’.

“Saya membuat laporan ini berdasarkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009, berkenaan kewajipan melaporkan tawaran suapan.

“Saya berharap pihak SPRM akan dapat menyiasat perkara ini pada kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan tidak berminat untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin dan tidak mahu mengkhianati PKR, pimpinan dan yang pengundi Parlimen Sekijang.

“Kepada mereka yang masih berusaha untuk mengubah sokongan Ahli-Ahli Parlimen PKR atau pembangkang amnya, berhentilah. Kerajaan minoriti yang kamu cuba selamatkan itu sudah seperti telur di hujung tanduk.

“Kepada kerajaan minoriti hari ini, saya cuma ada satu kata, lawan!,” tegasnya.

Semalam SPRM memohon Natrah atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan terdapat individu menyogok Ahli Parlimen seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, segera tampil membuat aduan.

Menurut SPRM, sekiranya perkara itu benar, ia dianggap sebagai perlakuan rasuah.

“Aduan tersebut selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 mengenai kewajipan melapor transaksi penyogokan.

“SPRM bersedia untuk menyiasat terhadap aduan itu,” menurut kenyataan SPRM. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here