SEMOGA rakyat dapat belajar dan ambil iktibar, demikian ingatan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes 15 ahli keluarga positif Covid-19 di Terengganu selepas mereka berkumpul bagi menghadiri kenduri tahlil, baru-baru ini.
Beliau berkata, rakyat perlu belajar dan mengambil iktibar daripada pengalaman yang lepas untuk mengelakkan kes melonjak secara mendadak kembali.
“Bantulah diri dan keluarga untuk membantu negara membendung jangkitan Covid-19 di negara kita,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Terdahulu, tindakan sebuah keluarga berkumpul bagi menghadiri kenduri tahlil dalam jumlah ramai tanpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sempurna menjadi antara punca kes baharu Covid-19 di Terengganu semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus dilaporkan berkata kes itu melibatkan beberapa keluarga dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang balik ke Terengganu untuk menziarahi datuk yang meninggal dunia.
“Apabila ada kematian, kebiasaannya akan ada majlis kenduri tahlil. Bilangan ahli keluarga yang terlibat sekitar 45 orang. Akhirnya, 15 daripada mereka disahkan positif Covid-19.
“Dalam keluarga ini ada individu bergejala yang turut serta. Ini menyebabkan jangkitan sangat tinggi.
“Sepatutnya apabila sudah tahu diri bergejala, tangguhkan dulu perjalanan rentas negeri atau patuhi SOP sepenuhnya untuk mengelak jangkitan seperti ini,” katanya.
Jabatan Kesihatan Terengganu merekodkan 22 kes baharu semalam menjadikan jumlah kes aktif di negeri itu kini 110. – Malaysiapost

