BEKAS pemain ragbi kebangsaan, Prof Madya Dr Mazlan Ismail menghembuskan nafas terakhirnya lewat malam tadi.
Berita itu disahkan menerusi ciapan di akaun Twitter Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), sebentar tadi.
“Kesatuan Ragbi Malaysia ingin merakamkan salam penuh takziah atas pemergian Allahyarham Dr Mazlan,” ciap KRM.
Allahyarham pernah mewakili negara pada Sukan Asia 2002 dan Sukan Komanwel 2002, selain bekas pemain Cobra dan UiTM Lions.
Dr Mazlan merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam.
Sebagai tambahan kepada tugasnya di UiTM, beliau pernah berkhidmat psikologi sukan dengan Akademi Jurulatih Nasional, Akademi Golf Nasional, UiTM FC, pasukan futsal Malaysia dan Akademi Bola Sepak Felda United.
Pada 7 Januari lalu, Allahyarham dilaporkan diserang angin ahmar dan menerima rawatan di hospital. – Malaysiapost

