AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi telah mengarahkan peguam memfailkan permohonan bagi mengenepikan perintah injunksi ex parte dikeluarkan mahkamah, susulan saman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya mengesahkan bahawa saya telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan permohonan untuk ketepikan perintah Injunksi ex parte tersebut dengan serta-merta. Saya juga menuntut ganti rugi daripada Tan Sri Muhyiddin.
“Saya yakin kepada sistem kehakiman negara kita dan saya akan membela diri saya di hadapan mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, Mohd Puad memaklumkan beliau akur terhadap perintah injuksi ex parti terhadapnya yang dikeluarkan mahkamah.
Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan injunksi sementara oleh Perdana Menteri yang menghalang Mohd Puad daripada meneruskan catatannya di Facebook.
Sebelum ini, Mohd Puad menerima surat tuntutan daripada peguam Muhyiddin supaya dia memohon maaf dan memadam hantaran di media sosial yang mendakwa layanan berbeza kepada rakyat berhubung prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularan Covid-19.
Catatan di Facebook itu dimuat naik pada 9 Februari lalu.
Perintah injunksi terhadap Mohd Puad berkuatkuasa 1 Mac sehingga 12 Mac ini, apabila mahkamah akan membicarakan permohonan injunksi Muhyiddin. – Malaysiapost

