Liga Super: Aksi Selangor – Sri Pahang jadi tumpuan

0
1

SETELAH Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Piala Sumbangsih sekali gus meraih tiga mata mengatasi Kedah malam tadi, kini giliran lapan lagi pasukan turun dalam aksi pertama masing-masing bagi saingan Liga Super 2021.

Aksi Selangor FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tentunya paling mencuri tumpuan apabila kedua-dua bekas juara Liga Super ini masing-masing memulakan musim 2021 di bawah pengendali baharu.

Selangor FC dibimbing jurulatih dari Jerman, Karsten Neitzel manakala Sri Pahang mendapat sentuhan bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Thomas Dooley.

Secara kebetulan, kedua-dua pasukan juga bertemu dalam aksi pembukaan Liga Super musim lalu di Stadium Darulmakmur yang menyaksikan Selangor menang tipis 2-1.

Dalam perlawanan pada 29 Februari 2020 itu, Pahang terlebih dahulu berada di depan menerusi Ivan Carlos sebelum Ifedayo Omosuyi menyamakan kedudukan.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, pemain kebangsaan Brendan Gan menjaringkan gol kemenangan menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti pada minit-minit akhir.

Tiga lagi perlawanan berlangsung malam ini iaitu Penang FC bertemu Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC bertandang ke UiTM FC dan Melaka United FC melayan kunjungan Sabah FC. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here