MASIH ingatkah lagi dengan pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 yang mencipta fenomena menerusi jaringan luar biasa hasil sepakan percuma suatu ketika dulu?
Pemain dimaksudkan, Mohd Faiz Subri kini menyertai Kuala Kangsar FC (KK FC) bagi mengharungi saingan Liga M3 musim 2021 yang dijangka bermula Jun ini.
Pengurus KK FC Datuk Shaharol Asafali berkata bekas pemain Pulau Pinang berusia 34 tahun itu akan dipertimbang untuk memimpin pasukan sebagai kapten, lapor Berita Harian.
“Kriteria kapten akan kita nilai selepas tamat latihan. Sudah tentu sebagai pemimpin di dalam dan luar padang, kita beri tanggungjawab kepada Faiz disebabkan pengalamannya yang bukan hanya memenangi Puskas, tetapi bermain di negeri-negeri lain sebelum ini.
“Maka sudah tentu pengalaman beliau ditagih untuk membimbing pemain lebih muda,” katanya selepas Majlis Perasmian Penaja KK FC dan menandatangani kontrak Faiz di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di Kuala Kangsar, malam tadi.
Sementara itu, Mohd Faiz yang difahamkan menandatangani kontrak bagi tempoh satu musim berkata, dia memilih untuk bersama KK FC kerana ingin terus bermain dalam saingan liga tempatan.
Ia di sebalik dia turut menerima tawaran menjadi jurulatih teknikal sukan teqball di Hungary, baru-baru ini.
“Tentang tawaran di Hungry, ia masih dalam perbincangan lagi, tidak benar-benar 100 peratus (ditawarkan) dan pada masa sama saya dapat tawaran dari KK FC.
“Sasaran saya ingin lebih cepat naikkan KK FC ke Liga Perdana. Sebagai pemain bola sepak, tekanan memang ada jadi saya anggap ini mungkin cabaran di tempat baru dan Insya-Allah akan buat yang terbaik.
“Soal dilantik sebagai ketua pasukan atau tidak, itu saya tidak mahu kata lagi, saya serahkan sepenuhnya kepada jurulatih kerana mereka yang akan menilai,” katanya. – Malaysiapost

