Bapa mentua maut ditendang di dada

0
2

POLIS menahan dua beradik bagi membantu siasatan berhubung kematian peneroka berusia 59 tahun yang juga bapa mentua kepada seorang daripadanya selepas berlaku pergaduhan antara mereka di Felda Mempaga 3, Lurah Bilut, Bentong, Pahang semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, peneroka terbabit meninggal dunia dipercayai akibat ditendang di dada sebelum rebah dan tidak sedarkan diri. 

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata dua suspek berusia 26 dan 34 tahun itu dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan hingga menyebabkan kematian seorang peneroka berkenaan. 

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dengan menantunya. 

“Adik kepada menantu mangsa yang berada di tempat kejadian menjadi berang dan menendang mangsa di kiri dadanya.

“Selepas itu, mangsa mengadu sakit di dada dan muntah beberapa kali sebelum rebah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, anak perempuan mangsa menghubungi Klinik Kesihatan (KK) berhampiran dan pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Menurutnya, kedua-dua suspek melarikan diri selepas kejadian dan susulan itu polis kemudian menjalankan operasi mengesan suspek.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan jam 10.30 pagi hari ini berhampiran sebuah pondok di Empangan Lembah Klau, Raub.

“Kedua-dua suspek adalah adik-beradik yang bekerja sendiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis heroin dan methapethamine serta mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dadah ,” katanya.

Zaiham berkata, punca kematian mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, polis berterima kasih kepada orang ramai yang turut membantu memberikan maklumat sehingga suspek berjaya ditahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here