Bersatu perkasakan hubungan dengan parti gabungan PN

0
1
KOTA KINABALU, 9 Sept -- Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama (dari kiri) Setiausaha Agong Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor, Presiden Parti SAPP Datuk Yong Teck Lee, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agong PAS Datuk Takiyuddin Hassan (kanan) mengibarkan bendera Perikatan Nasional pada Majlis Himpunan Perikatan Nasional Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam tadi. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memandang serius terhadap kandungan surat yang dihantar oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 26 Februari 2021. 
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kandungan surat itu mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara Umno, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). 
Menurutnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bagi memenangi pilihan raya. 
“Dalam hal ini (surat Presiden Umno), Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang. 
“Bersatu juga berpendirian bahawa kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. 
Menurutnya, dalam mesyuarat diadakan malam ini, Bersatu juga menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kerajaan PN menempuhi tempoh satu tahun mentadbir negara.
“Dalam tempoh pentadbiran setahun, PN berjaya menjulang prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintergriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.
“Dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, justeru Bersatu mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqamah dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here