PH turut rayu Agong titah adakan sidang Parlimen segera

0
1
anwar ibrahim

SELEPAS Barisan Nasional (BN) merayu agar Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang Parlimen diadakan segera, rayuan sama turut dibuat kepimpinan Pakatan Harapan (PH). 
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Ahli Dewan Rakyat PH menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Duli Tuanku atas nasihat Perdana Menteri.
“Kami mengalu-alukan titah Duli Tuanku yang bertujuan menegakkan amalan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.
“Kendatipun begitu, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semalam bahawa Jemaah Menteri menasihatkan Seri Paduka Baginda Tuanku Agong supaya tidak diadakan sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuat kuasa, adalah amat menghampakan kerana bertentangan dengan pandangan dan titah Duli Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. 
Beliau berkata susulan itu, demi menegakkan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar bagi memastikan semak dan imbang, PH memohon ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan, untuk menitah sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here