Apa yang penting sekarang kestabilan politik, kerajaan – Hamzah

0
3

APA yang penting ketika ini adalah kestabilan politik kerana ia memberikan manfaat kepada rakyat, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin. 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini. 
Hamzah berkata selepas setahun usia Perikatan Nasional (PN), semua parti diliihat bekerjasama antara satu sama lain dan mempunyai peranan masing-masing, maka kesemuanya wajar diberi penghargaan kerana mengekalkan kerajaan sedia ada. 
“Kita semua sedang meraikan setahun PN, fokus kita sepatutnya ke arah itu. Kita nak bincang semua, ucap terima kasih pada semua itu sepatutnya perkara penting. 
“Sebab yang penting adalah kestabilan kerajaan ini. Bila bercakap tentang kestabilan politik, selepas setahun kita sedar semua pihak saling bekerjasama. 
“(Kita) hendak menentukan supaya segala apa yang kita lakukan itu sesuatu yang baik untuk rakyat,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette. 
Sementara itu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan Bersatu dalam kerjasama dengan Umno pada malam ini. 
Kepemimpinan Bersatu mengadakan mesyuarat selama kira-kira dua jam di Putrajaya petang tadi, bagi membincangkan keputusan Majlis Tertinggi Umno yang mahu memutuskan kerjasama dengan parti itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here