KEPIMPINAN Barisan Nasional (BN) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, agar diperkenankan untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata titah berkenaan boleh dibuat Agong dengan menggunakan kuasa wewenang Duli Tuanku dibawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sidang Parlimen dapat membentangkan beberapa perkara seperti pengisytiharan darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara.
“Keberkesanan langkah-langkah membendung Covid-19, keberkesanan Belanjawan 2021, keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi serta keperluan perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam bersama pelbagai keturunan dalam negara agar kembali stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Presiden Umno, memohon perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyampaikan pandangan bagi pertumbuhan sosioekonomi negara, terutamanya rakyat miskin.
“Saya juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kepada petugas barisan hadapan dalam pengorbanan memerangi wabak Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

