BERSATU sudah membuat ketetapan berhubung keputusan Umno menamatkan kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu dinyatakan Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti itu di Putrajaya hari ini.
“Ada keputusan tapi nanti kenyataan akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung,” katanya Muhyiddin tanpa memaklumkan keputusan mesyuarat selama kira-kira dua jam tersebut.
Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pendirian Bersatu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti hari ini.
Katanya, perkara itu juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan datang bersama parti-parti komponen yang lain termasuk PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.
Semalam, mesyuarat Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan Muhyiddin telah membincangkan isi surat Presiden Umno bertarikh 26 Februari lalu.
Ia berhubung keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 19 Februari lalu yang memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 nanti. – Malaysiapost

