KEPIMPINAN Umno perlu membawa isu kerjasama dengan Bersatu ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) terlebih dahulu sebelum sebarang ketetapan dibuat.
Perkara itu ditegaskan bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa susulan dakwaan berlaku kekeliruan berhubung jumlah sebenar bahagian Umno di seluruh negara yang menolak kerjasama dengan Bersatu.
“147?… dulu kata 189? Baru ni naib presiden kata 118, ada kata yang betul-betul lengkap 81 bahagian?
“Yang mana satu Ku (Tengku Razaleigh Hamzah)? Bawa ke PAU dulu dan kita bilang baik-baik… selesai,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.
Menteri Wilayah Persekutuan itu turut memuat naik pautan kenyataan Tengku Razaleigh yang mahu Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan mesyuarat tergempar supaya semua ahli parti wajib memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
Tengku Razaleigh dilaporkan berkata ia mesti dilakukan selaras semangat dan kehendak perwakilan 147 bahagian Umno yang menolak kerjasama dengan Bersatu ketika mesyuarat peringkat bahagian sebelum ini.
Semalam, Annuar mempersoalkan kenapa sudah diputuskan tidak berkerjasama dengan Bersatu sekarang, sedangkan ada usul sedemikian yang perlu dibawa ke PAU terlebih dahulu.
Annuar berkata sekiranya Umno berada dalam kerajaan cuma sehingga Parlimen dibubarkan dan ketika tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) belum diputuskan, ia akan memberi keburukan kepada Umno.
Ini kerana katanya, sudah tentu kerajaan, khususnya Bersatu tidak lagi memberi kerjasama kepada pemimpin Umno yang sudah mengambil pendirian menentang atau menolak mereka.
Semalam juga, Malaysiapost melaporkan Umno telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.
Menurut sumber dalaman Umno, surat berkenaan sudah dihantar kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu pada 26 Februari lalu. – Malaysiapost

