PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuat ketetapan berhubung keputusan Umno menamatkan kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), petang ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pendirian itu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti hari ini.
Katanya, perkara itu juga akan dibincangkan juga dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PBN) akan datang bersama parti-parti komponen PN yang lain termasuk PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.
“Mesyuarat Biro Politik Bersatu petang semalam yang dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan berkaitan surat Presiden Umno bertarikh 26 Februari 2021.
“Ia berhubung keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 19 Februari 2021 di Janda Baik, Pahang. Dalam hal ini, Biro Politik mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi Umno itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan Umno itu termasuk memutuskan tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15; dan Kebersamaan dalam Kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran parlimen.
“Sehubungan itu, Biro Politik mengambil ketetapan bahawa pendirian Bersatu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi pada petang ini, 4 Mac 2021,” katanya.
Semalam, Malaysiapost melaporkan, Umno telah menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memaklumkan keputusan parti itu bagi menamatkan kerjasama Bersatu dan PN menjelang PRU-15 nanti.
Menurut sumber dalaman Umno, surat berkenaan sudah dihantar kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu pada 26 Februari lalu. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

