Rayuan 16 bekas ahli mahu Umno bubar ditolak

0
2

MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak rayuan 16 bekas ahli Umno yang mahu parti itu dibubarkan kerana tidak mengadakan pemilihan parti.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed menyatakan rayuan tersebut kini bersifat akademik kerana parti itu telah menjalankan pemilihannya di semua peringkat.

Malah, katanya, semua 16 bekas ahli Umno itu tidak mempunyai locus standi untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah kerana mereka bukan lagi ahli parti, lapor FMT.

Seramai 16 bekas ahli Umno itu sebelum ini merayu terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) memberikan kebenaran agar Umno menangguhkan pemilihan parti itu.

Mereka meminta ROS untuk membatalkan keputusannya pada Mac 2018 yang membenarkan Umno menangguhkan pemilihan parti sehingga April 2019, untuk menyiasat aduan yang dibuat dan membalasnya.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa Umno merupakan parti yang tidak sah berkuat kuasa 20 April tahun lalu.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan kumpulan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan ROS.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Kamaludin Mohd Said (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman atas alasan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan menetapkan seseorang ahli parti tidak boleh membawa pertikaian berkaitan parti ke mahkamah.

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan mereka membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kesahan parti Umno.

Bekas anggota Umno itu ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here