Rakyat yang pernah tolak Umno/BN telah sedar – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya sebahagian rakyat yang pernah menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah menyedari natijah berbuat demikian.

Beliau berkata, walaupun sebahagian rakyat masih ada rasa segan dan silu atas tindakan menolak Umno dan BN ketika itu, parti tersebut sentiasa berlapang dada.

“Sedangkan lidah lagi tergigit. Hulurkan tangan kepada mereka. Kembali berpadu atas nama kebenaran.

“Tetapi jangan disama ertikan rakyat dengan katak si katak lompat. Jangan disamakan mangsa dengan pemangsa.

“Namun rakyat kian celik dan pada akhirnya mereka terpaksa kembali bertemu jua dengan kita dalam penentuan PRU15,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata meskipun pemimpinnya ditohmah dengan fitnah pada PRU lalu, Umno kekal bernyawa dan terus hidup sebagai parti bermaruah.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata pemimpin yang difitnah itulah menunjukkan jati diri kental dan tidak mudah dibeli untuk mempertahankan Umno ketika ini.

“Mujur sebahagian pemimpin Umno dan BN yang diilustrasikan dengan begitu jahat tidak tahu erti mengalah.

“Tetapi kita maklum karma kemenangan pilihan raya dengan tipu daya, pembohongan dan fitnah tiada maruah apatah keberkatan.

“Hakikatnya selepas tewas, Umno/BN malah dihina, dikeji dan cuba dihapuskan secara total oleh mereka,” catatnya.

Tanpa menuding jari kepada sesiapa, Ahmad Zahid menyindir pihak yang cuba mempertahankan kuasa dengan cuba memancing wakil rakyat parti lain untuk melompat parti menyokong mereka.

“Saya masih ingat cerita tentang ceramah lawan politik di kawasan-kawasan yang dianggap kubu kuat Umno/BN ketika itu. Mula-mula mereka memburuk-burukkan pemimpin Umno/BN dengan pelbagai tuduhan dan dakyah.

“Kemudian penceramah mula ‘bersajak’ memukau pendengar kononnya mereka bukan mahu menghancurkan Umno, sebaliknya mahu menyelamatkan Umno/BN.

“Berpidato kononnya jika mereka menang, Umno/BN akan diselamatkan oleh pemimpin kerajaan baharu. Saya dimaklumkan, ucapan yang penuh dengan kepuraan dan hipokrit itu mendapat tepukan gemuruh hadirin.

“Kini mereka cuba lakukan apa sahaja untuk mengaburi mata rakyat hatta ‘membeli belah’ sana sini demi mempertahankan kuasa,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid meminta ahli Umno supaya bersatu mengukuhkan kedudukan dan tidak mudah terpedaya dengan anasir yang cuba memecah belahkan parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here