LEGENDA bola sepak, Pele telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan menganggap ia sebagai satu kenangan yang tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.
Menurut laporan AFP, Pele yang berusia 80 tahun, telah menerima suntikan vaksin sambil memakai pelitup muka dan kelihatan ceria dengan menunjukkan isyarat bagus ketika menerima suntikan.
“Hari ini (Selasa) merupakan hari yang tidak dapat dilupakan. Saya menerima vaksin!
“Pandemik (Covid-19) ini masih belum berakhir. Kita perlu kekal berdisiplin untuk menyelamatkan nyawa kerana ramai yang masih belum menerima vaksin,” kata Pele di Instagram miliknya.
Bagaimanapun, bintang Brazil itu tidak memberitahu lokasi dia menerima vaksin tersebut.
Pasukan media legenda itu juga tidak memberi reaksi berhubung soalan tentang jenis vaksin yang diterimanya dan sama ada ia merupakan dos pertama atau kedua.
Berdasarkan umurnya, Pele berisiko tinggi mengalami komplikasi Covid-19 jika terkena jangkitan penyakit itu.
Difahamkan, tahap kesihatan pemenang Piala Dunia tiga kali itu merosot sejak akhir-akhir ini dan penampilannya di khalayak ramai juga semakin berkurangan manakala dia pernah dilihat duduk di atas kerusi roda dan alat bantuan berjalan kaki. – Malaysiapost

